Friday, June 3, 2011

Penulis Yang Begitu

Yakin saya, ada ketikanya kamu akan, ataupun sudah membaca satu karya, dan usai membaca karya itu, terdetik dalam hati kamu, “Saya boleh menuliskan lebih baik daripada ini.”

Ketahuilah, itulah yang akan kamu rasa apabila selesai membaca buku-buku saya. Sengaja saya memberitahu kerana ada yang bertanya, saya ini yang tidak malu mengaku menjadi penulis, sebenarnya penulis yang bagaimana?

Saya penulis yang begitu, yang apabila kamu baca karyanya, kamu yakin kamu boleh menuliskan lebih baik daripada apa yang saya tulis.

Bukanlah saya sengaja mahu menulis begitu, melainkan kerana kekurangan saya juga. Mahu juga saya menulis yang hebatnya meninggi sehingga ke langit dan pembaca saya berkata, “Sampai mati pun saya tidak mampu menulis seindah ini.”

Namun, terhadnya keupayaan saya, saya hanya mampu berangan-angan. Kecewa juga saya kerana selepas berusaha setengah mati tetap juga tulisan saya itu terlihat begitu. Saya memang mati-mati mahu meninggikan harkat penulisan saya, akhirnya bakat saya yang kurang ini berkata lembut,”Maaf, saya hanya mampu membawa kamu setinggi ini.”

Jauh-jauh saya akui, kecewa saya menggunung. Sehingga satu waktu, saya kecewa lagi, namun dalam bentuk yang berbeza. Saya kecewa, mengapa saya dahulu perlu kecewa dengan kekurangan saya?
Semuanya atas ketentuan Tuhan juga. Saya menemui kembali seorang teman yang sangat baik, teliti fikirnya dan berseni tangannya. Pekerjaannya tidak ada kena-mengena dengan penulisan melainkan dia seorang guru pendidikan seni sebuah sekolah rendah.

Sebagai guru pendidikan seni, antara yang dia ajarkan kepada anak muridnya adalah seni membentuk pasu daripada tanah liat. Lalu berbaris-barislah pasu tanah liat di atas mejanya menanti diberi markah. Mengenali dia, saya sangat tahu, tangannya memang tangan yang luar biasa bakat seninya. Apa sahaja yang dia sentuh akan menjadi indah. Malah dia pernah membentuk pasu yang terlihat sangat mahal. Luar biasanya bakat pada tangan dia membuat saya terkagum-kagum.

Atas takdir Tuhan juga, pada hari itu kagum saya kepada dia semakin membesar. Semuanya kerana apabila saya memberitahu dia berkenaan kekurangan bakat penulisan saya dan kecewanya saya pada hal itu, dia dengan gaya seorang guru yang baik terus menunjuk ke arah pasu-pasu yang tersusun elok di atas meja.
Dia mengambil satu pasu yang sangat biasa dan kasar buatannya dan memberikan kepada saya. Teman saya mengaku dengan tersenyum bahawa itu adalah pasu buatannya. Katanya lagi, “Saya sekarang hanya mampu membuat pasu sebegitu. Malah saya selesa menjadi begitu.”

Mulanya terfikir juga saya, mungkin tangan seninya sudah hilang ataupun kerana sibuknya memberi markah kepada murid membuatkan dia lewa pada pekerjaan seni. Namun dia berkata, “Ini bukan kerana saya tidak menghargai seni ataupun apa-apa sahaja yang kamu fikir. Ini kerana manfaat yang saya peroleh daripada pasu biasa ini lebih besar daripada pasu cantik yang saya perbuat.”

Untuk waktu itu, saya tidak tahu atas alasan apa dia berkata begitu. Malah dia berani-berani pula menyamakan pasu biasa dan kasar itu dengan karya penulisan saya. Ya, saya mengaku saya kurang berbakat, namun dicela dengan cara itu secara berhadapan, memang saya tidak mampu menidakkan sakit hati saya dan akhirnya saya berkata, “Mana mungkin perkara yang biasa-biasa itu menjadi lebih banyak manfaatnya daripada perkara yang hebat dan indah. Sekiranya pun kamu mahu membesarkan hati saya, ini bukan jalannya.”

“Saya bukan mahu membesarkan hati kamu. Saya cuma mahu memberitahu kamu betapa untungnya kamu menjadi penulis yang biasa. Penulis yang kurang bakatnya....”

Belum teman saya itu habis bicara pantas saya mencelah dengan wajah yang tidak senang.
“Untung yang bagaimana? Penulis yang kurang bakatnya seperti saya ini, bukunya tidak laku, namanya tidak orang kenal dan jauh-jauh sekali mahu menang sayembara. Karya saya tidak evergreen, dan pasti akan dilupa orang. Lalu untung apanya saya menjadi penulis yang biasa?”

Tersenyum dia. Habis senyumannya dia berkata dengan kata-kata yang saya terus pegang sehingga hari ini.
“Kamu mungkin tidak membuatkan manusia menjadi lebih baik walaupun isi penulisan kamu baik, tetapi kamu tetap memberikan sesuatu yang besar. Saya yakin, kamu akhirnya mungkin sahaja memberikan inspirasi kepada sebilangan kecil manusia yang luar biasa bakat penulisannya bagi menjadi seorang penulis. Pasti sahaja selepas mereka membaca karya kamu terdetik dalam hati mereka, yang mereka mampu menulis lebih baik daripada kamu. Akhirnya, manusia yang berbakat besar itu menjadi penulis dan karya merekalah yang menjadi asbab mengubah manusia lain menjadi lebih baik.

"Itu yang saya perbuat. Hasil seni pasu saya memang tidak akan membuatkan ibu bapa pelajar saya kagum, namun ia memberikan inspirasi kepada pelajar saya bagi membuat yang lebih baik daripada itu. Sesuatu yang membuatkan mereka yakin dengan bakat yang terpendam dalam diri mereka. Ia akan membuatkan ibu bapa kagum dan gembira kepada anak mereka. Itu jauh lebih bermakna dan bermanfaat kepada saya.”

Terdiam dan terus saya berfikir-fikir pada logik kata-katanya. Saya kira dia sudah selesai dan rupa-rupanya, dia menyimpan kata-kata terbaiknya dan menyambung.

“Kamu barangkali terlupa niat kamu semasa mahu menulis. Niat mahu menuliskan yang baik-baik. Sekiranya sahaja kamu sudah menuliskan yang baik-baik namun dengan cara yang biasa, cara orang yang tidak berbakat, tidak ada apa lagi yang kamu perlu gusar. Mungkin sahaja tulisan kamu itu tidak enak dibaca dan dicaci, dilupa dan tidak evergreen. Biarlah kerana mereka bukan mencaci niat dan isi karya kamu tetapi sebenarnya pada kekurangan bakat kamu.

"Kerana pada akhirnya, kamu akan sedar, mungkin karya kamu manusia akan lupa, tidak nampak di mana baiknya tetapi yakinlah, Allah maha tahu. Dia tahu niat kamu dan tahu apa yang kamu mahu sampaikan. Allah juga tidak akan pernah lupa segala apa yang kamu niatkan. Biarlah manusia lupa karya kamu, asalkan kamu sudah berniat dan berusaha dengan sebaik-baiknya, kerana Allah tidak akan pernah lupa. Rezeki itu tetap Dia juga yang memberi.”

Terus sahaja saya tersedar sesuatu, bahawa sesungguhnya tidak ada ciptaan Allah yang sia-sia.

kredit: dingin.blogspot.com

Penulis di usia 15 tahun

IMAGINASI Christopher Paolini yang dilahirkan pada 17 November 1983 di Selatan California menjadikannya antara penulis Amerika tersohor yang memperjuangkan warisan budaya lewat tulisan seperti dalam Eragon, Eldest, Brisingr serta novel keempatnya yang belum bertajuk.

Hampir keseluruhan hidupnya dihabiskan di Paradise Valley, Montana, tempat letaknya Gunung Beartooth yang diselaputi salji sehingga memungkinkannya mendapat ilham menghasilkan pemandangan menakjubkan dalam Eragon.

Paolini yang menetap bersama-sama ibu bapa dan adik perempuannya, Angela, sememangnya menggemari bidang penulisan sejak zaman persekolahannya dengan menulis cerita pendek dan kerap berkunjung ke perpustakaan.
Beliau yang bersekolah di rumah sememangnya menggemarkan bidang penulisan semenjak kecil di mana beliau turut menulis cerita pendek dan sajak serta kerap berkunjung ke perpustakaan untuk membaca

Antara bahan bacaan kegemarannya ialah Bruce Coville's Jeremy Thatcher, Dragon Hatcher, Frank Herbert's Dune dan Raymond E Feist's Magician di samping buku karya Anne McCaffrey, Jane Yolen, Brian Jacques, ER Eddison, David Eddings dan Ursula K Le Guin.

Pengarang ini meminati cerita magik sehingga mendorongnya menulis novel menarik walau pada mulanya hanya sekadar hobi dan menjadikannya sebagai cabaran peribadinya serta tanpa niat untuk menerbitkannya.
Pemilihan perwatakan dalam novelnya, Eragon adalah hasil daripada imaginasinya kecuali watak Angela yang diambil bersempena nama adiknya dan bukunya Eragon ditulis ketika pengarang ini berusia 15 tahun.

Bukunya itu diterbitkan oleh keluarganya pada 2002 dan mengadakan ceramah di 135 sekolah dan perpustakaan sebagai sebahagian daripada promosi, sehingga penerbit berjaya menghidu potensi buku ini dan memohon hak pengedaran daripada penerbitan keluarga Paolini.

Programnya, Writing in Action, mendapat tempat di hati umum sehingga menyebabkan Eragon yang dulunya hanya sebuah buku, diadaptasi menjadi filem Hollywood pada Disember 2006 dan kini dalam proses dijadikan permainan komputer.

Novel trilogi Eragon ada nilai sentimental bagi Paolini kerana turut menyelitkan kekreatifan adiknya dalam menghasilkan kulit buku dengan ilustrasi mata Sephira dan peta, manakala edisi kedua Eragon diterbitkan Alfred Knopf pada Ogos 2003.
Buku ini tampil laris di pasaran di New York ketika beliau berumur 19 tahun dan selepas menjelajah Amerika Syarikat dan United Kingdom dengan matlamat mempromosikan Eragon pada 2004, Paolini mula mengarang buku keduanya, Eldest.

Buku keduanya itu ialah rentetan pengembaraan Eragon dan Saphira manakala buku ketiganya menemui pembaca pada September 2008 manakala buku keempatnya masih dalam proses penerbitan.

Thursday, June 2, 2011

Selamat menyambut bulan Rejab

Doa Awal Rejab

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان
(Allahumma baarik lanaa fii rojabin wa sya'baana wa ballighnaa romadhoona)

Maksudnya : Wahai Allah! Berkatilah kami di dalam bulan Rejab dan Sya'ban dan sampaikanlah kami ke dalam bulan Ramadhan.

Katak Oh Katak


            Mungkin selama ini kita sering mendengar kisah tentang semut,burung dalam mengambil ikhtibar dalam kehidupan. Apa kata kali ini kita belajar sesuatu dari seekor katak, makhluk ciptaan Allah yang dikurniakan kelebihan lidah yang panjang dan kaki yang kuat untuk melompat.

             Makanan seekor katak biasanya serangga yang berterbangan seperti lalat,nyamuk.Sedangkan katak tidak dikurniakan sayap pun. Tetapi, setiap hari katak dijamin rezekinya. Kan bagus kalau Allah kurniakan katak sepasang sayap supaya ia mudah untuk memburu mangsa yang bebas terbang di setiap penjuru dunia. Tetapi Allah mengurniakan mata yang tajam, lidah yang panjang dan kaki yang kuat untuk melompat mengejar mangsa ketika memburu.

            Mungkin kita melihat satu kekurangan jika katak tidak bersayap tetapi jangan lupa yang katak menggunakan kelebihan lain yang Allah kurniakan padanya. Samalah macam kehidupan kita ini. Manusia seringkali melihat begitu banyak kekurangan yang ada pada diri jika dibandingkan dengan orang lain. Lalu, kekecewaan dan kesedihan sering menghinggapi hati kita. Namun, Allah masih kurniakan kita kelebihan yang lain pada setiap hamba-Nya.

            Contohnya, seorang pelajar yang kaya mampu untuk menghadiri kelas tambahan untuk menjadi pandai tentang subjek yang dipelajarinya. Namun, ini tidak bermakna yang pelajar miskin tidak mampu untuk menguasai subjek yang sama. Allah masih mengurniakan kelebihan kerajinan buat pelajar miskin supaya dapat  menguasai pelajaran itu.

Jadi bila kita melihat katak jangan pandang begitu sahaja. Jangan hanya melayan imiginasi minta diberi sepasang kaki dan tangan seperti katak, sedarlah kita lebih mulia daripada katak. Sebaliknya pandang kelebihan yang ada pada kita manusia. Pandanglah kekuatan kita sebagai seorang individu yang punya pelbagai keistimewaan. Allah Maha Kaya, pasti ada kelebihan pada setiap manusia yang diciptakan-Nya termasuk diri kita.
 
           Tuhan mencipta manusia dengan berbeza-beza kelebihan yang pada diri kita,kita hendaklah mencetuskan mahu menggunakan kelebihan diri untuk mampu duduk sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan orang lain.


Carilah kelebihan yang Allah sudah kurniakan dalam diri dan gunakanlah ia sebaik mungkin,bukan hanya meratapi kekurangan diri.

Perjuangan Berblog Diteruskan

Ambillah waktu utk berfikir,itu adalah sumber kekuatan.
Ambillah waktu utk beriman,itu adalah masa muda yang abadi
Ambillah waktu utk berdoa,itu adalah sumber ketenangan
Ambillah waktu utk belajar,itu adalah sumber kbijaksanaan
Ambillah waktu utk mencintai dan dicintai itu adalah hak istimewa yang diberikan ALLAH SWT.
Ambillah waktu utk bersahabat itu adalah jalan menuju kebahagiaan
Ambillah waktu utk tertawa itu adalah muzik yang menggetarkan hati
Ambillah waktu untuk memberi itu adalah membuat hidup terasa bererti.
Ambillah waktu utk bekerja itulah adalah nilai keberhasilan
Ambillah waktu utk beramal itu adalah kunci menuju syurga.


p/s:
sudah lama saya meninggalkan dunia blog,insyaallah kembali dengan cetusan minda yang bernas dan bermanfaat

Thursday, October 14, 2010

Tanda2 Bahagia dan Sengsara

Bahagia dan sengsara ada petandanya. Berikut ini adalah tanda bahagia dan sengsara dalam kehidupan kita

Tanda-tanda Bahagia

1. Menjauhkan diri dari urusan dunia dan senang kepada urusan akhirat
2. Kemahuan kuat terhadap ibadah dan membaca al-Quran
3. Sedikit bicara terhadap apa yang tidak diperlukan
4. Sangat memelihara sholat lima waktu
5. Menjaga diri dari yang haram dan syubhat, sedikit atau banyak
6. Bersahabat dengan orang-orang soleh dan baik
7. Rendah diri
8. Bersifat dermawan yang ikhlas
9. Belas kasihan terhadap makhluk-makhluk Allah yang lain
10. Bermanfaat kepada orang lain
11. Selalu ingat mati dan bersiap sedia menghadapinya

Tanda-tanda Sengsara
1. Rakus terhadap harta dunia
2. Kemahuan nafsu yang kuat dan cenderung pada kelazatan dunia
3. Perkataan yang kotor dan banyak ghibah (menceritakan cela orang lain)
4. Menganggap enteng sholat 5 waktu.
5. Bersahabat dengan orang-orang fasik
6. Buruk prilakunya
7. Sombong dan tinggi hati
8. Enggan memberi kebaikan kepada orang lain
9. Sedikit kasih sayang terhadap orang yang beriman
10. Pengecut
11. Lupa terhadap mati

(Dipetik dari kitab Tanbihul Ghafilin)

Monday, October 4, 2010

Warnakan hati ini


Warnakan hati ini
Dengan lakaran ad-din ilahi
Agama sebenar dan hakiki
Supaya hidup ini
Diterangi cahaya dari ilahi

Warnakanlah hati ini
Dengan lakaran muhabbah ilahi
Supaya mereka diterujai
Dengan benih-benih cinta suci
Untuk menjadi yang sejati

Warnakan hati ini
Dengan lakaran ukhrawi
Supaya mengenal hakikat insani
Hanya hamba disisi ilahi
Walau hidup sehingga abadi

Warnakan hati ini
Dengan lakaran duniawi
Supaya hidup disegani
Segala yang ada dimiliki
Walau ia hanya seinci